banner

Wednesday, May 12, 2010

RAMAI PENGGUNA MUSLIM 'MATI' HATI


PETIKAN RUANGAN BICARA AGAMA-UTUSAN MALAYSIA

makanan-sihat.jpg

" Anda adalah apa yang anda makan "

Umum mengetahui kaitan antara pemakanan dengan tingkah laku dan ibadat seseorang Muslim. Atas sebab itu Allah berfirman : Dan makanlah dari rezeki yang kami berikan iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman. (al-Maaidah: 88)

Dalam realiti hidup, tidak ada individu yang boleh menghasilkan semua jenis produk untuk memenuhi keperluannya. Oleh sebab itu, timbullah frasa popular, ‘pengguna adalah raja’.Bagaimanapun, sering kita berhadapan dengan keadaan di mana pengguna telah menjadi `hamba’. Dalam keadaan tertentu, pengguna terus ditekan sama ada dalam bentuk kenaikan harga atau kekurangan barangan asas di pasaran.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto AZLI AHAD menemu bual Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bagi mengupas isu kepenggunaan ini.

MEGA: Apakah senario hal ehwal kepenggunaan dalam masyarakat Islam di Malaysia kini?
NADZIM: Mengikut kajian kita, terdapat kelemahan yang nyata dalam segi sosial, akademik dan kesihatan di kalangan umat Islam negara kita. Ini sudah pasti memberi kesan kepada aspek kepenggunaan dalam Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah Muslim.

Kebanyakan orang Islam kurang peka malah ada yang sambil lewa tentang bab halal haram. Ini bukan sahaja dalam perkara yang melibatkan makan minum tetapi juga dalam bekerja.

Kita ketepikan soal bab halal haram sembelihan ayam dalam perbincangan ini. Hari ini, kita melihat umat Islam mudah diperdayakan oleh cop dagang atau nama yang tertera pada sesuatu produk. Pendek kata, kalau nama pada pembalut sesuatu produk atau makanan itu nama orang Melayu seperti Azam atau Ahmad, tanggapan orang kita produk ini mesti halal.

Begitu juga apabila mencari restoran atau kedai makan. Kita mudah terpedaya, kalau ada bergantung ayat al-Quran atau tulisan halal walaupun pengusahanya bukan Islam kita masih ‘berselera’ duduk makan di situ.

Setakat ini, tiada undang-undang boleh diambil ke atas golongan yang mengelirukan identiti agama begini. Oleh sebab itu, umat Islam perlu lebih berhati-hati dan jangan terpedaya dengan taktik peniaga sebegini.


Apakah puncanya kita seolah-olah tidak berdaya melawan keadaan begini sedangkan umat Islam adalah majoriti di Malaysia?
NADZIM: PPIM melihat isu ini berkait rapat dengan keberkatan hidup. Bagi Muslim yang mukmin, mereka percaya keberkatan memain peranan penting. Orang yang pentingkan keberkatan akan datang semula membayar minuman yang terlupa dibayarnya di sesebuah kedai semalam. Kerana dia tahu apa yang masuk ke dalam mulutnya itu akan menjadi darah daging.

Apabila terlalu banyak mengambil makanan yang tidak halal (bukan setakat khinzir dan arak) tetapi juga makanan yang dicuri atau sengaja tidak mahu membayar semasa makan di kedai ia akan menjejaskan hati manusia. Hati ini adalah organ yang amat penting dan raja kepada sekelian anggota.

Sebab itu, Rasulullah bersabda: Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya. Apabila ia rosak, rosaklah badan seluruhnya. Ketahuilah itulah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apabila kita melakukan dosa, maka Allah campakkan ke dalam hati kita satu titik hitam. Sebab itu, orang yang sentiasa melakukan kemaksiatan tidak akan berfikir tentang pentingnya bab halal haram dalam hidup. Dengan kata mudah, hati mereka telah mati. Tidak lagi sensitif apabila soal kepentingan Muslim dihina dan diperkotak-katikkan.

Apabila hati telah mati, kita akan menjadi semakin liberal dan bersikap tidak apa apabila hak Muslim untuk bekerja atau berniaga di lokasi strategik diketepikan. Demikian juga kita tidak prihatin membantu peniaga Muslim.

Semua ini bertentangan dengan ajaran Islam sebagaimana sabda Rasulullah: …orang Islam bersaudara orang Islam, tidak boleh ia menganiayanya dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinakannya… (Riwayat Muslim) Ada pihak yang was-was tentang kuasa pengguna dan kemampuannya membendung contohnya kenaikan harga barang. Apa pandangan PPIM?
NADZIM: Pertamanya, PPIM melihat begini, kita ditindas sebab kita lemah. Jika umat Islam hebat sudah tentu tidak ada pihak yang berani cuba menekan dan menindas kita. Begitulah juga keadaan yang berlaku antara Fatah dan Hamas di Palestin.

Apa yang perlu kita buat ialah bersatu dalam berhadapan dengan begini. Jangan kita memperkecilkan kuasa pengguna yang ada.

Pengalaman PPIM membuktikan kita berjaya dalam beberapa hal. Antaranya, kita berjaya meningkatkan penggunaan minyak Petronas di kalangan umat Islam hasil kempen yang dilaksanakan tujuh tahun lalu. Demikian juga dengan penggalakkan mengambil insurans Takaful berbanding sistem konvensional.

Masyarakat perlu faham bahawa dalam sistem ekonomi terbuka kerajaan tidak boleh memboikot sesuatu produk. Tetapi kita sebagai pengguna boleh berbuat demikian. Sebabnya yang beli barang itu duit kita. Tiada siapa boleh paksa kita beli jika kita tidak mahu beli sesuatu produk atau perkhidmatan itu.

Kalau kenaikan harga ayam menimbulkan masalah, apa yang kita minta kepada pengguna Muslim ialah dua hari tanpa ayam, contohnya. Percayalah, jika kita bersatu kita mampu membendung kenaikan harga yang keterlaluan, insya-Allah.

Begitulah yang dilakukan oleh Mahatma Gandhi di India. Dengan meminta rakyatnya memboikot membeli garam dan kain dari pihak Inggeris, mereka berjaya menewaskan kerajaan penjajah.

Apakah aspek penting sebelum kita membeli atau menggunakan sesuatu perkhidmatan itu?
NADZIM: Islam adalah agama yang cintakan keamanan dan kedamaian. Ia tidak pernah menegah umatnya berniaga atau berurusan dengan bangsa lain. Namun, sebagai Muslim, sepatutnya kita sentiasa membantu saudara seagama dalam segenap bidang.

Ini juga yang ditegaskan menerusi firman Allah: Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya. (al-Maaidah: 2). Inilah pentingnya soal hati tadi. Jika hati kita tidak mati, sudah tentu kita akan memberi keutamaan membeli barangan atau perkhidmatan di kedai Muslim. Jika sudah tidak ada orang Islam yang mampu mengeluarkan sesuatu produk, barulah kita bermuamalat dengan bukan Islam.

Ini tidak, ramai orang kita yang lebih suka bermuamalat dengan bukan Islam sedangkan produk yang sama boleh didapati di kedai Muslim. Inilah yang menyedihkan.Sepatutnya, kita perlu mempunyai agenda dan sentiasa meletakkan keutamaan apa pun yang kita lakukan ia mestilah membawa kebaikan kepada agama.

Ramai orang Islam yang tidak sedar bahawa kaum lain sangat mementingkan aspek bantu-membantu dan ini bukan lagi rahsia kejayaan rangkaian perniagaan kaum Cina. Ada yang melihat PPIM ini terlalu emosional sehinggakan melenting dalam perkara-perkara yang disifatkan remeh-temeh. Contohnya dalam kes kilang roti di Nilai, sebelum ini. Benarkah?
NADZIM: Sebagai umat Islam yang dikatakan mewakili satu pertiga penduduk dunia hari ini, kita harus mempunyai prinsip tetap dan jelas mengenai apa yang kita gunakan setiap hari.Prinsip dan dasar ini amat penting kerana ia menentukan masa depan dan nasib orang Islam agar sentiasa dihormati, tidak diambil mudah dan diperlekehkan.

Kita tidak boleh hanya melihat produk akhiran sahaja. Sebaliknya, kita perlu melihat proses pembeliannya, penyimpanannya, pengilangan, pengedaran dan pengangkutannya. Adakah semuanya menepati kehendak syarak.

Soalan lain yang perlu kita tanya adalah adakah logo halalnya betul dan tulen, adakah syarikat yang mengeluarkan produk ini menghormati masyarakat Islam dan adakah produk ini dimiliki oleh syarikat yang memusuhi Islam.

Sebagai pengguna kita perlu kritis dan jangan ambil mudah. Satu lagi soalan penting yang perlu ditanya adakah syarikat mengamalkan diskriminasi terhadap syarikat pembekal Islam yang cuba membekal bahan mentah kepada mereka.

Dalam melaksanakan tugas, yang marahkan PPIM bukan sedikit, malah ada juga melibatkan orang Islam. Adakah ini melemahkan semangat PPIM?
NADZIM: Memang kita menghadapi pelbagai rintangan. Tetapi kita menganggap tugas ini sebagai jihad. Dan menjadi sunnatullah menegakkan kebaikan itu pasti berhadapan dengan tentangan dan ujian.

Bukan niat kita untuk bermusuh dengan mana-mana pihak. Cuma ia bagi merealisasikan visi penubuhan PPIM pada Jun 1997, antaranya menjaga dan membela hak dan mengembalikan maruah para pengguna Islam melalui pelaksanaan aktiviti yang proaktif dan berstrategi.

Dalam masa yang sama, hari ini jika tidak ada keperluan sembelihan halal orang Islam tidak akan ada dalam industri tersebut. Sebab itu, kita perlu ‘ajar’ pihak-pihak yang cuba memperlekehkan umat Islam supaya menghentikan perbuatan tersebut.

Harapan kita, umat Islam menyokong usaha ini untuk kebaikan bersama serta mewujudkan Gerakan Pengguna Islam yang sensitif tehadap kehendak kepenggunaan Islam.

Sebabnya semua bangsa yang berjaya telah berkorban bermatian-matian dalam usaha membantu bangsa mereka. Amalan dan budaya bending backwards adalah perkara biasa bagi bangsa maju seperti Cina, Jepun dan Yahudi.

No comments:

Post a Comment

PERKONGSIAN BIJAK CEMERLANG