banner

Monday, October 3, 2011

MLM tidak patuh syariat Islam


Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar daripada kesemua 1,411 buah syarikat sistem pemasaran berbilang tingkat (MLM) yang berdaftar di negara ini tidak menepati syariat Islam.

Kebanyakannya didapati melakukan pelbagai penyelewengan dan penipuan kepada ahli-ahlinya berdasarkan hasil penemuan Jawatankuasa Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara penyelewengan yang dikenal pasti ialah mengamalkan skim piramid, mengandungi unsur penindasan, manipulasi dan eksploitasi dalam pelan pemasaran.

Selain itu, pelan pemberian insentif yang mengelirukan, mengandungi unsur-unsur paksaan, pembaziran, menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha, mengandungi unsur syubahah atau perkara yang tidak jelas dalam sistem yang diamalkan.

Seorang daripada ahli panel jawatankuasa tersebut yang juga merupakan Pensyarah Kuliyyah Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, kebanyakan daripada operasi syarikat MLM yang terdapat di negara ini berada dalam keadaan yang meragukan.

“Kita mendapati daripada banyak sudut seperti kontrak, pelan, pemberian bonus, komisen, cara pemasaran dan melanggar adab-adab serta etika perniagaan.

“Walaupun masalah ini tidak dilakukan oleh semua syarikat MLM tetapi syarikat terbabit seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan mereka melakukan perniagaan dengan beretika,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, katanya, pada Jun baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 telah bersetuju untuk memperakukan garis panduan baharu tersebut.

Tuesday, September 13, 2011

Restoran guna sos ada DNA babi

SEREMBAN – Sebanyak 15 premis makanan termasuk restoran makanan segera popular dan berstatus halal di negeri ini serta beberapa negeri lain dikesan menggunakan sos serta beberapa bahan yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Perkara tersebut terbongkar selepas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan pada bulan lalu.
Hasil pemeriksaan tersebut mendapati, premis terbabit masih menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce yang disahkan mengandungi DNA babi oleh Jakim.
Seorang jurucakap JHEAINS berkata, susulan itu semua premis makanan tersebut termasuk semua peralatan yang digunakan premis berkenaan terpaksa menjalani proses samak.
Katanya, premis berkenaan yang termasuk beberapa buah restoran, kedai kek dan restoran makanan segera telah disamak sebagai syarat untuk mereka memperoleh sijil halal.
“Kita melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan selepas pihak Jakim mengesahkan bahawa dua sos berkenaan dan satu serbuk penaik jenama Puratos mengandungi DNA babi,” katanya di sini semalam.
Menurut jurucakap itu, ketika pemeriksaan, pemilik premis berkenaan mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang digunakan oleh mereka mengandungi DNA babi.

Monday, August 15, 2011

Mentega Golden Churn Pure Creamery Butter tidak halal






KUALA LUMPUR 15 Ogos - Orang Islam di negara ini diingatkan agar tidak menggunakan mentega berjenama Golden Churn Pure Creamery Butter selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan produk berkenaan tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan memutuskan bahawa produk keluaran Syarikat Ballantyne Food PTY dari New Zealand itu tidak halal.

"Ini berikutan laporan analisis yang diterima oleh Jabatan Agama Islam Sarawak pada 19 Julai lalu menunjukkan terdapat Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan dan ia disahkan oleh JKM sendiri.

"Keputusan ini diambil setelah mendapati produk yang terlibat, berpunca dari kilang yang sama walaupun diimport oleh pihak yang berbeza dan juga diedarkan di pasaran yang berbeza," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu telah dimaklumkan kepada syarikat tersebut dan mereka bersetuju untuk menarik balik produk berkenaan dari pasaran.

Katanya, bagi pemegang dan permohonan baru Sijil Pengesahan Halal daripada Jakim ataupun jabatan agama Islam negeri pula yang telah menggunakan produk tersebut, diminta untuk melakukan beberapa proses tertentu.

"Pertama, mereka perlu menukarkan bahan ramuan tersebut kepada bahan ramuan lain yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf.

"Kedua, mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baru dan melakukan samak dengan disaksikan oleh jabatan agama Islam negeri.

"Akhir sekali pihak berkenaan perlu mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak jabatan agama Islam negeri," katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa prihatin dan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan kepentingan umat Islam terpelihara dalam isu-isu berkaitan dengan halal dan tidak akan bertolak ansur mengenai hal itu.

"Bagi mengelak sebarang kekeliruan berkaitan isu-isu halal, orang ramai diminta merujuk kepada laman web Jakim iaitu www.islam.gov.my dan tidak merujuk kepada sumber yang tidak sahih seperti laman web sosial," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai status halal boleh menghubungi Bahagian Hab Halal, Jakim di talian 03-83150200.



UTUSAN MALAYSIA 15 Ogos 2011

Tuesday, August 2, 2011

SOSEJ PULUT DAN KEPINGAN AYAM TAK HALAL



KANGAR: Sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadan di sini dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Perlis semalam selepas memperoleh keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan pihaknya di sekitar Sungai Bahru di sini dan daripada jumlah itu, dua disahkan mengandungi DNA babi.
Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) jabatan itu, Mahamad Sukor Senapi ketika dihubungi berkata, dua produk yang dijual tanpa jenama itu mengandungi DNA babi.

“Sejak tempoh dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 sampel dikumpulkan di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan orang ramai yang khuatir dengan status halal produk berkenaan yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari Thailand.
“Buat masa sekarang, hanya dua daripada tujuh sampel awal disahkan mengandungi DNA babi dan kita masih menunggu hasil analisis baki sembilan lagi sampel yang dihantar bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Metro, 3 Ogos 2011

Tuesday, July 12, 2011

Tiada kopitiam halal di Selangor


Salah sebuah premis kopitiam yang menggunakan logo halal daripada pihak swasta.




SERDANG – Tidak ada satu pun daripada kira-kira 180 buah premis kopitiam di Selangor mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus atau 18 premis kopitiam sahaja dari negeri itu yang memohon pensijilan halal daripada JAIS dan Jakim.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana premis kopitiam di Selangor.

“Selangor belum ada kopitiam yang dapat sijil halal daripada JAIS walaupun kita ada buat pengumuman supaya mereka (pengusaha kopitiam) memohon untuk mendapatkannya.

“Sehingga kini, permohonannya ada tapi kurang iaitu kurang daripada 10 peratus sahaja yang memohon sijil halal daripada JAIS atau Jakim,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar kesedaran dan kepenggunaan halal Negeri Selangor di sini semalam.
Sumber: Kosmo Online

PERKONGSIAN BIJAK CEMERLANG